Rumah Putera Harapan (RPH) merupakan sebuah rumah perlindungan kanak-kanak terbiar di negeri Sabah khususnya di daerah Ranau. RPH diasaskan oleh NGO Islam dan telah dibuka pada 12 Julai 2008. Kanak-kanak yang membesar tanpa ibu bapa (yatim piatu), kematian salah satu daripanya (yatim), mangsa penceraian dan kemiskinan cenderung untuk tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Atas kesedaran ini, badan-badan NGO Islam khususnya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merasakan betapa nasib kanak-kanak ini perlu dibela dengan menyediakan tempat perlindungan dan menyiapkan pendidikan untuk mereka.

Objektif
- Memberi perlindungan dan peluang pendidikan kepada kanak-kanak terbiar dan terpinggir dalam pendidikan kerana dibelenggu masalah kemiskinan agar dapat meneruskan pembelajaran dengan sempurna.
- Memberi pilihan kepada ibu, bapa atau penjaga yang ingin menempatkan anak-anak mereka di tempat tinggal yang lebih selamat dan terjamin di bawah pengurusan yang baik.
- Memberi bantuan pendidikan dengan mengadakan kelas-kelas tuisyen dan bimbingan yang akan dikendalikan oleh guru-guru yang bertauliah.
RIWAYAT At-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda: Barang siapa yang memelihara seorang anak yatim dengan memberi makanan dan minuman dengan puas, maka Allah s.w.t memasukkan ia ke dalam syurga kecuali ia mengerjakan dosa yang tidak dapat diampuni.